Resipi Sup Ayam Paling Sedap & Senang Masak. 15 minit Dah Siap!

Peminat masakan berkuah atau sup, boleh cuba Resipi Sup Ayam paling senang ini. 15 minit dah boleh siap masak sup ayam seperiuk untuk hidangan seisi keluarga. Resipi Sup Ayam ini bukan sahaja mudah, malah sangat sedap ditambah pula dengan bau aroma rempah ratus nya yang wangi dan segar.

Sup ayam juga terkenal sebagai hidangan yang boleh membantu orang yang kurang sihat seperti demam atau selsema supaya cepat pulih kerana dipercayai mengandungi “immunity booster” yang semulajadi hasil dari rebusan tulang ayam atau “chicken bone broth” yang direneh perlahan di dalam sup. 

Jadi, bagi anda yang ingin mencari kelainan memasak sup ayam, boleh lah cuba resipi di bawah.

Resipi Sup Ayam Paling Mudah

Bahan-bahan:

  • Ayam
  • Bawang putih 5 ulas
  • Halia sebesar ibu jari
  • Bawang besar 1 biji
  • Sup bunjut
  • 2 kiub pati ayam
  • Cili padi 2 biji (titikkan)
  • Lada hitam secubit (tumbukkan)
  • Garam secukup rasa
  • Daun sup & daun bawang
  • 6 biji bawang merah kecil (hiris nipis)

Cara-cara Membuatnya:

1. Masukkan ayam dan air dalam periuk. Hidupkan api.

2. Masukkan bawang putih, halia dan bawang besar dalam periuk bersama ayam tadi, Biarkan masak bersama.

3. Masukkan sup bunjut.

4. Biarkan semua bahan mereneh.

5. Bila ayam dah masak, masukkan 2 kiub pati ayam.

6. Nak lagi pedas, masukkan cili padi.

7. Masukkan lada hitam yang sudah ditumbuk. Kemudian masukkan garam secukup rasa, daun sup dan daun bawang.

8. Dalam kuali lain, gorengkan bawang merah kecil yang sudah dihiris nipis.

9. Bila bawang dah kekuningan, terus masukkan ke dalam sup tadi sekali dengan minyak.

10. Siap. Sup ayam sedia untuk dihidangkan.

Selamat Mencuba!

Kredit & Foto : Ameera

Like Kami di Facebook

error: Content is protected !!