Resipi Nasi Ayam Thai Paling Sedap & Senang Masak. Patutlah Viral!

“Budak-budak ni asyik nak makan nasi ayam je.. Tapi, boring juga kalau asyik beli di luar. Kebetulan ada ayam kat rumah ni, bolehlah cuba buat sendiri nasi ayam Thai yang viral tu. Nampak macam sedap je…”

Anak-anak kecil selalunya cukup gemar dengan nasi ayam kan? Walaupun ada banyak kedai yang menjual nasi ayam, tapi sesekali kalau buat sendiri di rumah lebih jimat dan berbaloi. Dapatlah satu keluarga merasa air tangan kita.

Apa yang membuatkan nasi ayam Thai yang berasal dari negara seberang ini berbeza daripada apa yang kita selalu makan di Malaysia adalah pada bahan-bahan yang digunakan.

Ianya hampir sama dengan nasi ayam biasa atau nasi ayam hainan cuma perbezaannya adalah pada sos dan juga penggunaan daun ketumbar untuk keseluruhannya.

Tapi nak kata banyak sangat beza tu tidaklah juga. Cuma nasi ayam Thai ini, ayamnya tak perlu digoreng. Sebaliknya, ia cuma perlu direbus dan dihidang lembut begitu. Sosnya juga cukup special, ada rasa Thai yang tersendiri. Lagipun, sesekali tukar selera best juga kan?

Nak tahu bagaimana cara nak masak nasi ayam Thai? Jom ikuti resipi lengkap perkongsian Queena Lilie di bawah.

Resipi Nasi Ayam Thai Paling Sedap

Bahan-bahan:

  • Ayam* (saya pakai peha + kepak)
  • 4 batang bahagian akar daun ketumbar (bersihkan betul-betul)*
  • Halia (dihiris besar ibu jari)*
  • 3 ulas bawang putih (dicincang/tumbuk)*
  • Air*
  • Garam*
  • Kiub ayam (add on)*
  • 3 pot kecil beras
  • Bawang putih & kecil
  • Butter

Cara-cara Membuatnya:

1. Bersihkan ayam.

2. Masukkan semua bahan betanda (*) ke dalam periuk. Rebus semua bahan sehingga ayam masak.

3. Kemudian keluarkan ayam, ketepikan dulu.

4. Ambil sedikit air rebusan untuk buat sup dan untuk masak nasi nanti.

5. Untuk sup pula, boleh tambahkan bunga lawang dan kayu manis sikit untuk rasa lebih sedap. Tambah sekali bawang goreng.

6. Untuk masak nasi, guna 3 pot kecil beras. Cuci bersih ye.

7. Tumis bawang putih dan bawang kecil sedikit dengan menggunakan butter.

8. Kemudian masukkan beras yang sudah dibasuh dan masukkan air rebusan ayam tadi.

9. Masukkan batang ketumbar dan halia.

10 Masukkan juga ayam tadi, letak elok-elok di atas beras ye. (kiranya ayam dimasak 2 kali)

11. Rupa kejadiannya bila nasi sudah masak.

Bahan Untuk Sambal:

  • Bawang goreng sendiri (bukan beli siap, sebab nanti keras tiada rasa)
  • Cili padi ikut tahap kepedasan masing-masing
  • Sos thai
  • Gula perang sedikit
  • Bawang putih seulas
  • Dark + light soy sauce
  • Limau nipis
  • Daun ketumbar hiris halus

Cara-cara Membuatnya:

1. Tumbuk bawang putih menggunakan lesung batu.

2. Kemudian masukkan bahan-bahan lain. Gaul dan tumbuk-tumbuk manja.

Bahan sambal merah:

  • 5 batang cili merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 1 sk cuka
  • 1 sk garam atau secukup rasa
  • 1 sk gula atau secukup rasa
  • 1/2 cawan air rebusan ayam
  • Sos tomato sikit

Cara-cara Membuatnya:

1. Kisar semua bahan dan masak seketika menggunakan api yang perlahan.

2. Ok dah siap! Sedia untuk dihidangkan.


Selamat Mencuba!

Kredit Resipi & Foto : Queena Lilie

Like Kami di Facebook

error: Content is protected !!