Resipi Kari Bendi dan Udang paling mudah dan sedap. Sungguh menyelerakan jika dimakan bersama nasi putih panas-panas walau tanpa hidangan lauk lain.
Satu menu ini sudah mencukupi kerana telah digabungkan lauk (udang) dan sayur (bendi) bersama.
Kaedah yang paling penting untuk memasak kari ikut cara melayu ialah serbuk kari perlu dibancuh terlebih dahulu bersama sedikit air hingga menjadi paste, barulah ditumis bersama bawang dan daun kari hingga pecah minyak.
Tapi jangan sampai hangus dan berkerak pula ye, sebab nanti kari akan terasa pahit.
Untuk bahan tumbuk pula, jika tak ada lesung batu boleh sahaja dihiris nipis atau dicincang halus bahan-bahan tersebut.
Jom ikuti resipi lengkap perkongsian oleh Puan Nurul Ateekah di bawah.
“Kalau dah makan Kari, papadom dan sambal belacan jangan lupa. Kalau ada lebihan kuahnya, jangan dibuang. Petang menyicah bersama roti. Tidak kira roti gardenia, roti jala, roti canai ”- Nurul Ateekah
RESEPI KARI BENDI DAN UDANG
Bahan-Bahan:
- Bendi – (10-12 batang)
- Udang – 300 gram (bersaiz sederhana)
- Daun kari – 2 batang
- Serbuk Kari ikan -3 sudu besar
- Tomato – 1 biji (dibelah 4)
- Bawang besar – ½ biji (dihiris)
- Bawang putih – 3 ulas (ditumbuk)
- Halia 2 cm – (ditumbuk)
- Cili merah – 1 batang
- Cili hijau – 1 batang
- Air asam jawa – 2 sudu besar
- Air – (300-400 liter)
- Santan – ½ kotak kecil
- Garam
- Serbuk perasa
- Minyak masak
Nota : Rempah Kari dibancuh dengan sedikit air. Jadikan sebagai paste
Cara-cara Memasak:
1) Panaskan minyak ke dalam kuali. Tumiskan bawang putih dan halia sehingga sedikit keperangan.
2) Masukkan daun kari dan bawang merah yang dihiris halus. Tumis sehingga keperangan.
3) Masukkan rempah kari yang telah dijadikan paste tadi. Tumis lagi hingga pecah minyak (waktu ni, perlahankan sedikit api dapur). Kacau-kacau selalu supaya rempah tidak berkerak.
4) Apabila rempah sudah mulai pecah minyak dan masak, masukkan air asam jawa. Kacau sebati dan biarkan sebentar.
5) Masukkan udang, biarkan udang masak seketika.
6) Masukkan santan yang telah dibancuh dengan air dan masukkan sedikit garam. Boleh juga masukkan serbuk perasa (jika suka)
7) Masukkan Bendi, tomato, cili merah dan cili hijau. Biarkan kuah mereneh dan masak.
8) Apabila sudah masak, tutup api. Boleh taburkan hirisan daun ketumbar (jika suka)
9) Siap dan sedia untuk dihidangkan.
Selamat Mencuba!
Kredit Resipi & Foto: Nurul Ateekah