Masakan sambal yang sedap bergantung kepada jenis-jenis cili kisar yang digunakan. Kami kongsikan cara membuat sendiri cili kisar yang sedap dan tahan lama.
Cili kisar ini bukan sahaja fresh kerana tidak menggunkan bahan pengawat, malah boleh tahan selama 1 bulan jika disimpan di dalam peti ais.
Yang paling best, kalau nak masak hanya tinggal cedok sahaja. Tak perlu nak potong bawang lagi sebab dah cukup semua rasa. Jom ikuti perkongsian Nurul Ateekah di bawah.
Cara Buat Cili Kisar Yang Sedap Dan Boleh Digunakan Untuk Pelbagai Masakan
“Cili kisar ni, mak mertua saya ajar. Mak mertua saya dulu seorang peniaga nasi berlauk dan jenis-jenis mee yang jual di kedai makan Singapore.
Memang wangi aroma tumisan cili ni bila dimasak. Senang, ringkas dan mudah nak masak. Boleh guna bila-bila masa.
Bila dah ada cili kisar macam ni, nak buat lauk jenis sambal, masak kicap, rendang, jenis-jenis goreng mee semua jadi mudah. Cili kisar ni boleh tahan selama 1 bulan dan tidak berbau. Ianya juga kurang pedas.
Kat sini saya kongsikan caranya. Contoh saya masak sotong sambal dan resipinya sekali. Dalam resipi ni, ada rahsia sambal sotong yang sedap.” – Nurul Ateekah
Bahan-bahan:
- 150gram cili kering kerinting
- 2 labu bawang putih
- 5 biji bawng besar
- 2 cm halia
- 1 batang serai
- 1 cm kunyit
- 4 sudu besar minyak masak
Cara-cara Membuatnya:
1. Gunting cili kering dan rebuskan sehingga lembut.
2. Apabila sudah lembut, toskan airnya dan bilas cili yang telah direbus tadi. (sebab dekat cili kadang-kadang ada warna hitam, serbuk putih dan kadangkala ulat pun ada)
3. Kupas bawang putih, bawang merah dan potong bawang agar senang dikisar.
4. Masukkan kesemua bahan, kisar dengan sedikit air dan minyak. Kisar sehingga lumat.
Nota: Minyak membantu cili kisar tahan lebih lama, tidak berbau dan bila dikisar cili tidak berbiji serta cili betul-betul hancur
5. Simpan dalam bekas dan masukkan dalam peti sejuk.
Resipi Sambal Sotong Sedap & Tak Kecut
1. Didihkan air. Bila dah mendidih, baru masukkan sotong dan masak selama 4 hingga 5 minit. Angkat dan toskan sotong. Ketepikan seketika.
Nota: Tujuan rebus sekejap sotong supaya sotong tak liat/kecut
2. Ambil 1 senduk cili kisar tadi. Tumis sehingga pecah minyak dan sehingga cilinya masak.
3. Apabila sudah pecah minyak, masukkan sehelai daun limau purut dan 1 sudu perahan air asam jawa.
4. Masukkan gula, garam, serbuk belacan dan serbuk knorr. Gaul sebati.
5. Masukkan sotong dan 1 sudu besar santan supaya sambal lebih berlemak dan sedap.
6. Siap dan sedia untuk dihidangkan.
Selamat mencuba!
Kredit Resipi & Foto: Nurul Ateekah