Resipi Puding Lumut Ini Memang Terbaik. Lemak, Lembut, Bergedik!

Entri kali ini, kami kongsikan resipi puding yang sangat mudah dan harum dengan aroma daun pandannya iaitu Puding Lumut.

Resipi ini telah dikongsikan oleh Puan Diana Khalifa di laman Facebook. Lengkap dengan tips dan petua untuk hasilkan puding lumut yang sedap, lembut dan tekstur yang cantik.

Ikuti perkongsian lengkap Puan Diana Khalifa di bawah.

Tips & Petua Membuat Puding Lumut

Petua dan tips yang saya amalkan bila buat puding ni:

1. Ramas kelapa, campurkan sekali dengan telur dan daun pandan untuk hilangkan hanyir telur. Ramas dalam lebih kurang 10 minit, baru perah dan tapis. Hidung saya sensitif, kalau makanan ada bau pelik, memang saya tak boleh makan.

2. Ketebalan lapisan lumut tu bergantung pada berapa biji telur yang digunakan. Selalunya ratio 1/2 biji kelapa untuk 1 biji telur. Kalau nak lagi tebal, letak 2 biji telur. Dalam gambar ni, saya guna 2 biji telur.

3. Kalau pakai santan kotak, kisar sekali dengan telur dan daun pandan sekejap, kemudian tapis. Tapi saya lebih gemar pakai kelapa parut sebab bau dia lagi sedap.

4. Nak lebih lemak, letak sesudu kecil garam.

5. Letak satu sudu besar gula batu supaya agar-agar tak terlampau berair.

6. Nak lumut dia nampak lagi cantik, tuang campuran santan tu bila agar-agar dah mendidih. Biarkan sekejap, bila dah mendidih kacau dalam 1 minit (sampai adunan santan tu nampak berketul) padam api dan berhenti kacau.

7. Tips tambahan: Bila pecahkan telur, jangan terus pecahkan dalam bekas kelapa. Pecahkan dalam mangkuk yang berasingan untuk elakkan terkena telur lama. Telur lama ni bau dia lagi kuat, kuning telur dia dah cair dan pecah, ada lekat sisa kuning telur dekat bahagian kantung oksigen telur (Ni tips untuk elakkan pembaziran..boleh juga amalkan.)

8. Jangan tambah air dalam kelapa parut, guna air kisaran pandan 1/2 cawan, dan juga telur. Nanti terlampau banyak air, adunan jadi berair dan tekstur tak cantik sangat.

Resipi Puding Lumut Tersedap

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1/2 biji kelapa parut
  • 7 helai daun pandan (dikisar dengan 1/2 cawan air)
  • 1 biji telur (2 biji kalau nak lapisan telur tebal)
  • 1 pack agar-agar tali (20 – 25g)
  • 4 senduk gula (kalau tak suka manis kurangkan)
  • 1 sb gula Batu
  • 1 sk pewarna hijau
  • 1 sk garam
  • 6 cawan air

Cara-cara Membuatnya:

1. Perah santan bersama telur dan daun pandan yang dikisar, untuk menghilangkan bau hanyir telur.

2. Campurkan perahan tadi dengan 1 sk pewarna hijau dan garam

3. Basuh agar-agar, dan masakkan bersama 6 cawan air sehingga agar-agar hancur.

4. Masukkan gula batu, kacau sampai hancur.

5. Masukkan gula, kacau sampai mendidih.

6. Bila adunan mendidih, campurkan campuran santan dan tunggu sehingga mendidih. Kacau adunan. Tutup api.

7. Tuang dalam loyang.

8. Sejukkan dalam peti ais dalam lebih kurang 3-4 jam. Kemudian boleh dipotong kecil.

9. Siap dan sedia untuk dihidangkan. Puding lumut ni, kalau dimakan sejuk-sejuk memang sedap. Terbaik rasa dia..

Selamat Mencuba!

Kredit Resipi & Foto : Diana Khalifa

Like Kami di Facebook

error: Content is protected !!