Resipi Ibu Sambal Kicap ini telah dikongsikan oleh Cikgu Afy Al Habibi di laman Facebooknya. Sambal Kicap ini merupakan menu pelbagai guna dan rasanya sangat enak, lebih-lebih lagi jika dibuat cicah-cicah dengan makanan lain. Hanya dengan satu resipi sambal kicap ini, anda boleh nikmatinya bersama bermacam hidangan seperti Bihun Sup, Tauhu Bergedil, Pisang Goreng dan banyak lagi.
Malah, Sambal Kicap ikut resipi ini juga tahan lebih lama. Sekali buat, boleh tahan berbulan-bulan. Berbaloikan? Jom cuba!
RESIPI IBU SAMBAL KICAP ALA JOHOR
BAHAN-BAHAN:
2 genggam cili padi hijau
8 ulas bawang putih
Kicap lemak manis secukupnya
2 sudu makan kicap pekat
2 sudu makan kicap cair
Sedikit gula
Secubit garam jika perlu
CARA MEMASAK:
- Panaskan sedikit minyak dan goreng cili padi serta bawang putih hingga kekuningan. Angkat. ( Cili padi perlu dipatahkan terlebih dahulu bagi mengelakkan ia meletup masa menggoreng.)
- Masukkan bahan goreng tadi ke dalam bekas pengisar.
- Masukkan kicap. Kuantitinya sehingga menutupi paras bahan tadi.
- Tambahkan kicap pekat dan kicap cair untuk warna sambal yang cantik.
- Perasakan dengan sedikit gula mengikut cita rasa. Tambahkan juga secubit garam jika perlu.
- Kisar sambal hingga lumat. Tuang ke dalam mangkuk dan kacau sebati. Boleh tambah perisa jika perlu.
- Ibu Sambal Kicap ni sesuai dinikmati bersama pelbagai hidangan makanan seperti Soto, Bihun Sup, Tauhu Bergedil dan lain-lain lagi.
CARA SIMPAN IBU SAMBAL KICAP SUPAYA TAHAN LAMA
- Masukkan sambal kicap ke dalam bekas yang bertutup.
- Guna sudu kering setiap kali mengambil sambal dari dalam bekas.
- Sambal Kicap akan memekat bila disimpam lama dalam peti sejuk. Jadi boleh tambah air masak dan kacau sebati. Jika perlu, perasakan ikut cita rasa anda.
Selamat Mencuba!
Kredit Resipi & Foto: Cikgu Afy Al Habibi